PIMPINAN tertinggi pembangkang dilaporkan bermesyuarat di pejabat ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Gasing petang ini.
Antara yang dilaporkan hadir ke mesyuarat itu ialah, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menggantikan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak dapat hadir ke mesyuarat berkenaan.
“Pejuang menghantar presiden sebagai wakil ke mesyuarat itu,” Utusan Malaysia melaporkan hari ini.
Terdahulu, beberapa ketua parti dan pemimpin Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat di pejabat Anwar dipercayai bagi membincangkan perkembangan politik semasa yang menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan hari ini
Ketika ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang juga veteran DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Muhyiddin tengah hari tadi dilaporkan telah menyatakan kepada pemimpin-pemimpin parti kerajaan berkaitan hasrat berundur dan meletak jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen selepas 15 daripada 18 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.