YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi menghadap pagi tadi di Istana Negara.
Menurut kenyataan Istana Negara, susulan daripada peletakan jawatan itu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri “caretaker” sehingga perdana menteri baharu dilantik.
Muhyiddin dilihat memasuki Istana Negara tengahari tadi dan pertemuan berlangsung selama 30 minit, bermula jam 12.30 tengah hari.
Keputusan itu dibuat selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin serta jemaah menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.
Selaku Ketua Utama Negara, Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara serta menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
Sebelum itu, Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada jam 11.00 pagi di Istana Negara.
Baginda turut dimaklumkan oleh Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah COVID-19. Pada masa yang sama, Baginda turut mengambil maklum bahawa kemudahan kesihatan negara juga berada pada situasi membimbangkan.
Sehubungan itu, Baginda berhemat, pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik jika mengambil kira faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID 19.
“Baginda mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.
,
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.