Kos umrah dijangka meningkat susulan SOP baharu

KOS menunaikan ibadah umrah dijangka meningkat sedikit susulan pelaksanaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebahagian besar peningkatan kos itu berkait dengan penjarakan sosial seperti had muatan bilik hotel dan bas.

“Sebagai contoh – jumlah jemaah dalam bilik penginapan dihadkan kepada dua orang sahaja yang mana sebelum wabak COVID-19, satu bilik boleh memuatkan 4-6 orang. Begitu juga semasa jemaah menaiki kenderaan (bas), yang mana jumlah penumpang dihadkan kepada 50 peratus muatan bas.

“Selain itu, jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram turut dihadkan. Pergerakan semasa melaksanakan tawaf dan saei perlu mengikuti SOP ketat seperti mana yang kita lihat semasa musim haji baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 60 ribu jemaah haji sahaja menunaikan haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata peraturan-peraturan berkenaan turut memberi bayangan bahawa ada kemungkinan kesan kepada kos mengerjakan umrah. BERNAMA