Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bertaubatlah! ahli Parlimen kem Zahid - Shahidan -

Bertaubatlah! ahli Parlimen kem Zahid – Shahidan

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan 15 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengkhianat kerana tindakan mereka mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Sehubungan itu beliau menggesa kumpulan ahli Parlimen berkenaan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan selamatkan kerajaan Melayu Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), berkata perbuatan itu bukan sahaja pengkhianatan kepada UMNO tetapi kepada orang Melayu.

“Jadi orang yang menarik sokongan daripada kerajaan sama seperti membubarkan kerajaan, jadi yang mengkhianati kerajaan Melayu Islam ini adalah 15 MP yang melanggar keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) iaitu mesti sokong kerajaan sedia ada sehingga pilihan raya.

“Perbuatan tersebut pengkhianatan kepada UMNO dan orang Melayu, kerajaan ini goyah berpunca daripada 15 MP ini,” katanya seperti dilaporkan portal Agenda Daily.

Shahidan berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan hasil gabungan parti yang mewakili masyarakat bumiputera di Malaysia, ia terdiri dari parti UMNO, Bersatu, PAS, GPS, STAR dan beberapa ahli Parlimen Bebas.

“Jadi ini kerajaan Bumiputera Islam, sebuah kerajaan yang wakilnya menggambarkan demografi penduduk Malaysia, iaitu 70 peratus Bumiputera.

“Ini sebuah kerajaan terbaik pernah ditubuhkan, BN (Barisan Nasional) pun tidak sama dengan kerajaan sekarang,” katanya lagi.

Beliau tidak bersetuju dan menentang keras tindakan 15 ahli Parlimen UMNO yang sanggup mengikut arahan Zahid sehingga mengancam kestabilan politik negara ketika ini.

“Kami 27 MP masih memegang teguh kepada keputusan PAU iaitu No Anwar dan NO DAP… kami sokong kerajaan PN sampai Parlimen dibubar,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mendesak supaya Zahid menjelaskan hala tuju parti sekiranya kerajaan PN jatuh dan siapa yang akan mereka bekerjasama.

“Presiden pernah melakukan pembohongan kepada parti, kami ahli Parlimen pun kena bohong.

“Presiden tak pernah tunjuk hala tuju nak tubuh kerajaan baharu selepas ini, tidak pernah tunjuk. Beliau kena beritahu kami dengan siapa UMNO akan bekerjasama,” katanya.