Lengkap dos vaksin bantu lima negeri kurangkan kes ICU

SUNTIKAN dos lengkap vaksin Covid-19 yang meningkat dalam kalangan populasi dewasa di lima negeri berjaya membantu menurunkan kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital di negeri terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata suntikan dos lengkap itu juga telah mengurangkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi ketiga-tiga kategori di semua negeri terlibat iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita mendapati apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 dalam kalangan populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Labuan mencapai 63.4 peratus, Sarawak (55.7 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus), terdapat penurunan bagi kemasukan kes kategori tiga hingga lima ke hospital dan ICU.

“Negeri-Negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19.

Menurut beliau, trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

“Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita dapati pada minggu ke-30, kes kemasukan kategori empat dan lima ke hospital semakin menurun dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Selain itu, kita lihat kes kemasukan individu berusia antara 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi berjaya menurunkan kes ke hospital dan penggunaan katil-katil di ICU,” ujarnya.

Tambah beliau, simptom keparahan dialami mereka yang dijangkiti juga rendah apabila hanya tiga kes daripada petugas kesihatan yang dijangkiti virus itu berada dalam kategori lima iaitu dua daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih dirawat di ICU serta diberi bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (RT) di Malaysia kini 1.05 dengan Perlis mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah dan Kelantan (masing-masing 1.20) serta Sarawak dan Pulau Pinang (1.17).