PELABUR luar negara menyifatkan Malaysia masih lagi sebuah negara yang baik untuk melabur walaupun menghadapi kesukaran kesan penularan wabak COVID-19.
Menurut Pengerusi TAPiO Management Advisory Sdn. Bhd., Bernhard Schutte, tindakan pelabur-pelabur yang meninggalkan Malaysia tidak bermakna negara ini sudah tidak mampu menawarkan pelaburan yang baik.
Perunding ekonomi yang memiliki beberapa syarikat lain di Malaysia itu menambah, tindakan para pelabur meninggalkan negara ini adalah sebagai langkah bagi mereka untuk mengurangkan perbelanjaan operasi.
Tambahnya,, langkah tersebut diputuskan pengurusan syarikat induk masing-masing selepas melihat keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan mengurus bagi memastikan perniagaan mereka di negara asal tidak terjejas.
“Setiap kali anda mempunyai situasi seperti COVID-19, seluruh dunia mengalami kegawatan ekonomi dan sekarang ini semua pihak sedang berjuang serta menilai semula pelaburan masing-masing bagi mengurangkan perbelanjaan.
“Jadi apabila mereka melihat ada keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan mengurus, sudah tentu mereka mahu memastikan perniagaan mereka di negara asal tidak terjejas. Kebanyakan syarikat yang meninggalkan negara ini disebabkan mengalami kemerosotan perniagaan di negeri asal mereka,” katanya kepada portal perniagaan DagangNews.
Schutte menambah, di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia juga berdepan dengan masalah yang sama apabila pelabur-pelabur di negara-negara itu mula meninggalkan negara tersebut atas sebab mereka perlu memastikan perniagaan mereka di negara asal dapat dikekalkan.
“Jadi, saya tidak fikir orang yang meninggalkan Malaysia kerana negara ini tidak bagus, jika tidak saya pun akan ikut sama,” tegasnya.
Schutte turut akui bahawa Malaysia mengalami sedikit kesukaran akibat COVID-19 dan juga ketidaktentuan politik, begitu juga dengan negara-negara lain seperti Jerman, Beligium, dan Perancis.
“Semua negara sedang bergolak dengan ahli politik, COVID-19 bukan sesuatu yang berlaku dalam setiap 10 tahun atau 20 tahun yang boleh ahli-ahli politik boleh mengawal keadaan. Tidak ada negara yang boleh mengatakan mereka mempunyai penyelesaian yang sempurna untuk menangani pandemik ini,” tambahnya.
Bagaimanapun, Schutte memuji dengan kadar vaksinasi Malaysia yang jauh lebih baik berbanding negara lain di mana lebih setengah juta rakyat di negara ini divaksin setiap hari walaupun mengalami masalah dengan situasi politik semasa.
Perunding yang berpengalaman ini berkata, apabila terdapat krisis, pelabur atau sesiapa sahaja tidak sepatutnya panik, mereka harus memikirkan apa yang sedang berlaku dan cara mengatasinya.
“Setiap krisis yang berlaku, sentiasa ada peluang. Malah bukan hanya Malaysia yang mengalami krisis, tetapi seluruh dunia mengalami krisis yang besar,” ujar beliau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.