Mahkamah Majistret Selayang hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas seorang lelaki yang bertindak menghempuk kepala abang iparnya, seorang warga emas, dengan periuk sehingga menyebabkan kecederaan.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Azmi Shahadan, 56, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap Isnin Kulop, 72, di rumah mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves dekat sini pada 11 pagi 6 Julai lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah memerintahkan Azmi menjalani hukuman berkenaan bermula tarikh dia ditangkap, iaitu 16 Julai lepas.
Mengikut fakta kes, Azmi dan Isnin bertengkar sebelum Azmi bertindak mengambil sebiji periuk serta memukul kepala abang iparnya berkali-kali sehingga berdarah.
Pihak polis tiba di tempat kejadian selepas dihubungi oleh keluarga mangsa yang meleraikan pergaduhan itu.
Tertuduh kemudian dibawa ke Hospital Selayang oleh pihak polis selepas mendakwa dirinya mengalami masalah mental sejak 15 tahun lepas.
Terdahulu, peguam M. Marippan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh tidak bekerja, masih bujang dan tinggal bersama-sama mangsa selain mendakwa dia juga mengalami masalah mental.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tindakan tertuduh yang menggunakan periuk sebagai alat untuk mencederakan mangsa.
“Tertuduh telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 16 Julai lepas untuk mendapatkan pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan laporan perubatan forensik psikiatri mengesahkan dia waras serta sedar akan sifat dan akibat perbuatannya pada hari kejadian,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.