Oleh RAHIMI MOHAMAD
DATUK Bandar Johor Bahru yang disyaki terlibat menerima rasuah ketika bertugas di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Johor Bahru pagi ini.
Suspek yang berusia 60 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM berwarna jingga dan diiringi dua pegawai penguatkuasa agensi berkenaan.
Pegawai kanan kerajaan itu ditahan SPRM Cawangan Batu Pahat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Johor, kira-kira pukul 3 petang semalam.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP sewaktu menjadi Datuk Bandar.
Suspek yang kini bertugas di MBJB akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.