34 ahli sindiket ‘Datuk palsu’ ditahan Polis Melaka

0
342

Oleh Rahimi Mohamad

DUA lelaki yang merupakan dalang utama antara 34 individu yang ditahan polis dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran kerajaan negeri Melaka yang dijual pada harga RM50,000 hingga RM100,000.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu bermula hasil maklumat awam pada Januari tahun ini sebelum beberapa siri serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka.

Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 70 tahun ditahan di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor dalam operasi khas bermula 22 Februari hingga 29 Mac lalu selepas risikan dijalankan pihak polis.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu didalangi dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mencetak watikah palsu Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

“Dua suspek itu turut mencetak tauliah palsu Jaksa Pendamai (JP) serta membeli selempang dan bintang Darjah Kebesaran Negeri Melaka daripada pembekal yang tidak sah,” katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali.

Sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan itu sejak pertengahan tahun lalu dan dikesan melibatkan beberapa orang tengah yang berperanan mempromosikan serta menjual darjah kebesaran palsu secara atas talian di tiga negeri terbabit.

“Dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Melaka Tengah, pihak polis merampas pelbagai barangan dan dokumen palsu termasuk 16 watikah darjah kebesaran negeri dan watikah jaksa pendamai negeri dan 13 selempang, 21 pingat darjah kebesaran negeri.

“Barang palsu lain yang turut ditemukan adalah dua kad keahlian Majlis Datuk-datuk Negeri Melaka (MDDNM), dua kad keahlian Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM) selain 168 set emblem kereta Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM),” kata Sulaiman.

Polis juga membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan dua suspek utama akan dituduh mengikut Seksyen (3)(1)(a) dan Seksyen 3(1)(b)Enakmen Lambang-lambang dan Nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) Enakmen A21 Negeri Melaka di Mahkamah Sesyen esok.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here