PEMIMPIN vetaran DAP, Dr Tan Seng Giaw menggesa semua pemimpin politik menghentikan polemik perebutan kuasa, sebaliknya fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19.
Bekas Ahli Parlimen Kepong yang dihormati kerana sikap rasionalnya itu berkata, sempena Maal Hijrah, semua ahli politik perlu mengambil peluang menghayati peristiwa itu untuk berfikir sejenak dan menyusun keutamaan mereka.
“Awal Muharam mengajak kita untuk berbuat baik. Jadi lakukanlah perkara paling penting dulu, kesihatan rakyat,” kata Seng Giaw seperti dilaporkan MalaysiaNow.
Seng Giaw berkata, semua parti harus menamatkan polemik ketika ini.
“Soal perang dan berbalah parti ini, siapa nak jadi kerajaan, siapa nak jadi itu, siapa nak jadi ini, hentikanlah dulu,” ujarnya
Tan yang juga seorang doktor berkata, biarpun ramai rakyat sudah divaksin, kematian masih berlaku setiap hari di Malaysia dengan jumlah yang tidak dijangkakan.
“Bukan saja kita, seluruh dunia hadapi masalah ini tambah lagi di Amerika Syarikat, sangat teruk walaupun dia jauh lebih maju berbanding kita.
“Soal siapa nak jadi kerajaan, perang-perang politik hentikanlah dulu. Fikir dan cari jalan macam mana nak selesai masalah kesihatan rakyat akibat penularan Covid-19,” katanya yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepong sejak 1980-an.
Komen Seng Giaw yang turut dikenali sebagai satu-satunya pemimpin politik Tionghua yang boleh membaca tulisan Jawi, datang ketika UMNO dan parti pembangkang lain meningkatkan usaha untuk mengumpul sokongan bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.