Tidak perlu kecewa, minta maaf, anda kebanggaan Malaysia

0
271

“Datuk Azizul, tak perlu minta maaf untuk rakyat Malaysia. Anda dah buat yang terbaik,” kata Amirul Hakim.

“Luar nampak Perak, tetapi hati kami seluruh rakyat Malaysia tetap emas buat kamu,” tulis Aidil Ajies.

“Dia (Azizul) mungkin sudah dapat emas, jika tidak dihalang pelumba Australia dan membiarkan pelumba pertama menjarakkan diri. Dalam hati saya dia (Azizul) sudah mendapat emas,” ujar Youwan Lee.

Itu antara luahan rakyat Malaysia di media sosial yang berdiri teguh di belakang pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang jelas kecewa kerana gagal membawa pulang pingat emas untuk negara.

Menerusi acara siaran langsung jelas kelihatan wajah kekecewaan Azizulhasni dan kelihatan juga dia meletakkan kedua-dua tangan di dada seolah-olah meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam wawancara bersama wartawan di Velodrom Izu, Azizulhasni memberitahu, beliau sudah memberikan segala-galanya dan berharap tidak ada yang kecewa dengan keputusan hari ini.

“Saya memang sasar untuk menang emas. Semalam saya tak lena tidur memikirkan hari ini. Masa perlumbaan, saya ingat muka anak-anak, isteri dan keluarga. Buat yang terbaik untuk mereka.

“Masa saya terbang ke Tokyo saya dapat tahu ayah saya masuk hospital kerana mild stroke (angin ahmar). Tapi adik-beradik saya mahu saya fokus Olimpik. Saya tiada pilihan, saya fikirkan tanggungjawab saya kepada negara.

“Ada masa memang kena terima, bukan semua kita boleh kawal. Saya sudah beri segala-galanya dan saya harap semua tidak kecewa dengan keputusan ini,” katanya yang gagal menahan air mata dalam wawancara tersebut.

AZIZULHASNI Awang bangga bersama pingat perak Sukan Olimpik Tokyo.

Mengulas tentang perlumbaan, Azizulhasni berkata, dalam undian, dia mendapat kedudukan kelima di belakang pelumba Belanda, Harrie Lavreysen yang juga pemenang emas acara pecut.

“Kalau saya ke depan awal, ia agak berisiko. Glaetzer (pelumba Australia, Matthew Glaetzer), saya tak tau apa yang dia buat, dia beri jarak pendahuluan terlalu besar (kepada pelumba Great Britain, Jason Kenny, yang memenangi emas),” katanya.

Bagaimanapun di sebalik kekecewaan itu, Azizulhasni menerima khabar gembira bakal menimang cahaya mata ketiga.

Ini adalah temasya Olimpik keempat buat Azizulhasni, sejak edisi Beijing 2008.

Dia gagal ke final keirin di Beijing, tempat keenam di London 2012 sebelum menyusulinya dengan gangsa di Rio 2016.

Mengulas perancangan selepas Olimpik Tokyo, Azizulhasni berkata dia mahu berehat dahulu sebelum memikirkan Olimpik Paris 2024.

“Itu memang dalam perancangan (Sukan Olimpik Paris). Saya nak berehat dulu. Sekarang, saya tak sabar nak balik jumpa keluarga saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here