Tahniah Azizulhasni, Syabas Shah Firdaus – Muhyiddin

0
475

KEJAYAAN pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam acara keirin lelaki Olimpik Tokyo 2020 pagi tadi meraih pujian dan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi Muhyiddin, beliau menyifatkan kejayaan Azizulhasni merangkul pingat perak pada hari ini menambahkan keceriaan kepada kontinjen negara sebelum Olimpik edisi Tokyo 2020 melabuhkan tirainya.

“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan,” tulisnya.

Perdana Menteri menambah, seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang tunjukkan.

“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini.

“Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara.

“Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini,” ujarnya.

Kepada Shah Firdaus, Muhyiddin berkata, kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

“Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus,” ujarnya.

Tahniah Azizulhasni! Syabas Shah Firdaus!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here