HANYA ada agenda untuk tumbangkan kerajaan dan tiada hala tuju yang jelas ketika membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin punca ahli Parlimen UMNO tidak menyokong saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut laporan Suara.TV, ketika mendedahakan perkara tersebut menerusi perbualan kumpulan WhatsApp, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu beliau dan rakan-rakan tidak tahu apa strategi UMNO dalam menjaga kepentingan negara dan rakyat.
Tambah beliau, tindakan menarik diri tanpa perancangan hanya merugikan parti kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat.
“Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO lalu saya tanya jika semua ahli Parlimen menarik diri apa perancangan seterusnya? Jika kerajaan tumbang apa untungnya kepada UMNO?
“Kita hanya ada dua pakatan lain yang besar iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Jika hendak jadi kerajaan kita kena bergabung dengan salah satu. Kita tolak PH dan PN, jadi macam mana hendak membentuk kerajaan?” soal Ismail dalam laporan portal tersebut.
Ismail turut mendedahkan beliau ada bertanya bagaimana UMNO hendak membentuk kerajaan dengan hanya 42 kerusi.
Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi sebarang jawapan yang meyakinkan.
“Jawapan Presiden…itu strategi..strategi tidak boleh bincang dalam mesyuarat.
“Takkanlah saya Naib Presiden 1 tidak boleh tahu strategi parti? Takkanlah Majlis Tertinggi UMNO tidak boleh tahu hala tuju parti?” soal beliau lagi
Ismail Sabri turut menyifatkan Ahmad Zahid sebenarnya tiada hala tuju dan hanya hendak menumbangkan kerajaan sahaja.
“Kita tumbangkan kerajaan untuk cetuskan huru-hara sedangkan hal-hal Covid-19 sedang diuruskan oleh saya, Datuk Seri Hishammuddin, Khairy dan Dr Adham.
“Apa pandangan rakyat kepada kita jika bila tumbang kerajaan, negara jadi makin tidak stabil?,” tanya Ismail Sabri. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.