ORANG ramai dinasihatkan berhati-hati apabila membeli kit ujian Covid-19 kendiri ekoran laporan yang mengatakan berlakunya penjualan alat tersebut yang tidak mendapat pengesahan pihak berwajib.
Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan orang ramai hanya membeli kit ujian kendiri diluluskan pihak berkuasa.
Menurut kenyataannya yang dikeluarkan hari ini, terdapat beberapa farmasi tempatan didapati menawarkan kit ujian yang bukan daripada enam syarikat diberi kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).
“Ada aduan pengguna mengenai penjualan kit itu dijual pada harga RM60 seunit di sebuah farmasi di Terengganu yang mendapat bekalannya dari sebuah farmasi lain di Pahang.
“Pemeriksaan mendapati farmasi di Terengganu telah mematuhi penandaan harga ke atas produk bagi membolehkan pengguna membuat keputusan,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, farmasi di Pahang itu membekalkan kit ujian yang bukan dalam enam syarikat diberi kelulusan MDA.
“Pengguna disarankan lebih berhati-hati sebelum membeli kit ujian tersebut dengan membuat rujukan melalui laman sesawang rasmi MDAi iaitu melayari https://portal.mda.gov.my/ sebelum membuat pembelian,” kata kenyataan itu.
Pada 3 Ogos lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba lalu mengesahkan hanya enam kit ujian kendiri diluluskan untuk jualan di dal negara, manakala 14 lagi sedang menjalani ujian prestasi makmal terpilih ketika ini.
Penjualan kit berkenaan dijangka mampu mengurangkan kesesakan teruk di premis saringan dan mengelak berlaku penularan wabak selain boleh dijadikan pemeriksaan kendiri di rumah. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.