Fasa PPN: Bilangan kes kemasukan hospital bergejala indikator baharu

BILANGAN kes kemasukan hospital bergejala ditetapkan sebagai indikator baharu bagi peralihan fasa Pelan Permulihan Negara (PPN).

Menurut Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, penggantian indikator itu hanya digunakan apabila vaksinasi sesebuah negeri dalam Fasa 1 mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dicapai menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan nasihat pakar kesihatan serta pengalaman antarabangsa dan domestik, dengan penelitian risiko penularan Covid-19 menurun seiring peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Manakala penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit dalam Kategori 3, 4 dan 5 dan nilai ambang yang ditetapkan bagi bilangan kes bergejala untuk peralihan Fasa 1 ke Fasa 2 ialah 2,000 kes (6.1 kes per 100,000 penduduk) manakala Fasa 2 ke Fasa 3 ialah 1,000 kes (3.0 kes per 100,000) dan Fasa 3 ke Fasa 4 pula 400 kes (1.3 kes per 100,000 penduduk).

Bagaimanapun kata beliau, dalam penilaian peralihan daripada satu fasa kepada fasa selanjutnya, ia masih tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator, termasuk penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

“Contohnya, bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di Fasa 1, apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes yang diguna pakai ialah kes kemasukan hospital baharu bergejala.

“Seterusnya, negeri itu hanya boleh beralih ke Fasa 2 jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU (sederhana),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, berbanding jika dirujuk kepada jumlah kes baharu harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak dari awal pengumuman PPN, kerajaan menekankan bahawa PPN perlu bersifat dinamik yang mana semua pendekatan diambil adalah berdasarkan data dan sains.

Tambah beliau, ini termasuklah penetapan indikator dan nilai ambang untuk peralihan fasa dan penggunaan nilai indikator baharu itu dapat menambah baik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial dalam konteks peralihan fasa PPN. – SB