Penghantar Foodpanda dihempap pokok tumbang

0
198

Seorang penghantar makanan Food Panda cedera selepas dihempap dahan pokok yang tumbang, ketika menunggang motorsikal dalam keadaan angin kencang dan hujan lebat di Jalan Besar Pekan Telok Sengat, Kota Tinggi, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 3 petang daripada seorang pemandu kereta yang sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Besar ke Pekan Teluk Sengat.

Menurut pengadu, tiba-tiba sebatang pokok besar telah tumbang dan menghempap sedikit bahagian hadapan sebelah kiri kenderaannya dan pada masa sama, sebuah motorsikal dari arah Pekan Telok Sengat menuju ke Jalan Besar turut dihempap oleh pokok berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dilihat terbaring di atas jalan raya bersama motorsikalnya dalam keadaan dihempap dahan-dahan pokok yang tumbang dan diberikan bantuan kecemasan oleh ambulans dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang telah dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Hussin berkata pihaknya telah mendapatkan bantuan penduduk kampung bagi memotong dahan pokok yang tumbang untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa yang berusia 23 tahun itu, disyaki mengalami kecederaan patah bahagian paha kiri dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan mangsa dilaporkan stabil.

“Pokok yang berada pada jarak kira-kira 40 meter dari jalan raya itu, dipercayai pokok tua yang tumbang akibat tiupan angin kencang ketika hujan lebat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here