“SAYA biasa mengendalikan prosedur intubasi dan adakalanya hati ini rapuh juga kerana apabila tiub pernafasan dipasang, kita tahu peluang untuk pesakit sedar kembali adalah 50-50, bergantung dengan tindak balas mereka.”
Demikian akui Dr Wan Aizat Wan Zakaria, pegawai perubatan Unit Rawatan Rapi, Jabatan Anestesiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor, ketika ditanya prosedur intubasi kepada pesakit Covid-19.
Berkongsi pengalaman dengan Harian Metro, Wan Aizat memberitahu, prosedur intubasi bukan asing, namun dalam tempoh pandemik situasi berbeza dan boleh meruntun hati.
Menurutnya, menjadi kemestian untuknya memaklumkan kepada pesakit dan keluarga mereka sebelum menjalankan prosedur intubasi.
“Agak berbeza juga dalam tempoh pandemik ini kerana saya perlu menjadi perantara dengan membantu pesakit membuat panggilan telefon atau video dengan keluarga mereka yang tidak dapat berada di wad.
“Salah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika menyaksikan seorang pesakit wanita menghubungi suaminya sebelum diintubasi dan memberi pesanan untuk menjaga empat anak mereka dengan baik.
“Saya jadi tersentuh disebabkan anak pesakit itu masih kecil dan sebagai ibu, saya faham perasaan pesakit berkenaan walaupun tidak berada di tempatnya,” katanya.
Menurutnya, selain memberi penerangan dan menghubungkan keluarga, beliau juga meminta pesakit berselawat serta mengucap dua kalimah syahadah bagi yang beragama Islam sebelum mereka diintubasi.
Katanya, ia perkara biasa dilakukannya sebelum memberi ubat untuk menidurkan pesakit bagi membolehkan prosedur intubasi dijalankan.
“Bagi yang bukan Muslim pula, saya minta mereka bertenang dan berdoa mengikut cara agama mereka.
“Hanya itu boleh saya lakukan sebagai individu yang ada bersama mereka pada waktu berkenaan.
“Apa pun prosedur intubasi dijalankan selepas melihat itu terbaik buat pesakit terutama yang mengalami masalah pernafasan kritikal,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.