Program SMART SBB tingkat tahap sara diri pesawah

0
321

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

TAHAP Sara Diri (SSL) beras negara akan dipertingkatkan sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan memaklumkan, terdapat beberapa jabatan dan agensi di bawahnya yang akan bertindak sebagai pemantau program dan aktiviti dalam melaksanakan dasar kerajaan serta menyediakan khidmat pengembangan kepada pesawah.

Menurut MAFI, antaranya, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

“Pelaksanaan program SMART SBB ini melibatkan pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan. Sehubungan itu, kepentingan dan kesejahteraan pesawah dalam sektor padi dan beras negara sentiasa menjadi keutamaan MAFI.

“Dalam menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, MAFI sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pesawah melalui jabatan dan agensi yang terlibat bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara efektif dengan kerjasama padu bagi mencapai objektif yang dihasratkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, MAFI berkata, program SMART SBB dan projek rintis ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi di kawasan Felcra Seberang Perak merupakan dua inisiatif yang berbeza.

Menurut MAFI, projek rintis itu merupakan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan sebuah syarikat swasta bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi.

“Inisiatif ini bukan sebahagian daripada program SMART SBB,” ujarnya.

Sementara itu, MAFI berkata, usahasama sektor awam dan swasta juga akan membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi per metrik tan setahun sehingga 191 peratus dengan nilai pendapatan tahunan sebanyak 47 peratus.

Kata MAFI, pertambahan nilai pendapatan itu menerusi peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 kepada 7.0 metrik tan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here