Pandelela tidak patah semangat, tekad cemerlang di Paris

0
373

SEMANGAT ratu terjun negara Pandelela Rinong tidak padam apabila beliau bertekad untuk terus bertanding di pentas Olimpik edisi Paris 2024 meskipun meraih keputusan yang kurang memuaskan di Olimpik Tokyo 2020.

Anak kelahiran Sarawak ini berkata, beliau akan cuba sedaya upaya melayakkan diri ke pentas Olimpik Paris 2024 dengan memperbaiki prestasinya pada kejohanan yang akan datang.

“Ya, saya akan bertanding pada Olimpik akan datang. Saya tidak akan berputus asa kerana ini bukan Olimpik terakhir saya. Saya nak berusaha lagi untuk layak bertanding di Paris,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Atlet negara yang pernah memenangi pingat gangsa di London 2012 ini mengakhiri terjunannya di tempat ke-12 pada final acara 10m platform individu wanita Sukan Olimpik Tokyo hari ini.

Pentas final ini menyaksikan Pandelela mengalami kesukaran pada terjunan pertama setelah kakinya terkena platform mengakibatkan ‘entry’ yang dilakukan agak kurang kemas dan sekadar meraih 18 mata.


Bagaimanapun Pandelela cuba bangkit pada terjunan kedua dan meraih mata sebanyak 71.05 manakala pada terjunan ketiga, meraih 60.80.

Pandelela menamatkan lima terjunan setelah menghimpun mata keseluruhan sebanyak 245.85 di kedudukan ke-12 manakala wakil China, Quan Hongchan, menepati ramalan selaku pemenang pingat emas dengan 466.20 mata keseluruhan sambil rakan senegaranya, Chen Yuxi, meraih perak dengan 425.40 mata keseluruhan.

Wakil Australia, Melissa Wu, pula menjadi pemenang pingat gangsa selepas menghimpunkan 371.40 mata.

Mengulas aksinya di pentas final petang tadi, Pandelela akui berasa kecewa dengan keputusan itu, namun tetap menganggap penglibatannya di pentas Olimpik pada kali ini memberikan pengalaman dan pengajaran untuk memperbaiki prestasi dalam menghadapi kejohanan seterusnya.

“Apa pun saya reda dengan keputusan hari ini,” katanya.

Pandelela Rinong merupakan atlet wanita negara yang pertama meraih pingat di pentas Olimpik apabila beliau memenangi pingat gangsa di London 2012 pada usia 15 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here