Kedudukan PM tidak terjejas – Shamrahayu

0
231

PENGUMUMAN yang dikeluarkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam tidak akan menjejaskan kedudukan seseorang itu sebagai Perdana Menteri.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, seseorang Perdana Menteri masih tidak hilang kepercayaan majoriti jika hanya sekadar dengan pengumuman beberapa ahli parlimen.

Beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepercayaan majoriti mesti dilakukan oleh ahli dewan, bukan melalui tindakan sekumpulan ahli politik di dalam sesuatu parti.

“Dari segi undang-undang, penarikan balik sokongan itu bukanlah satu-satunya cara kerana seperti yang dinyatakan di dalam perutusan khas sebentar tadi, Perdana Menteri mempunyai bukti-bukti dari segi dokumentasi atau akuan bersumpah bahawa beliau masih lagi mempunyai kepercayaan majoriti ahli dewan,” katanya ketika wawancara bersama Astro Awani yang disiarkan tengah hari tadi.

“Ketika ini, kita tidak tahu bagaimana pandangan ahli-ahli Parlimen yang lain berkenaan dengan sokongan terhadap Perdana Menteri. Kalau sebelum ini ada ahli Parlimen yang tidak mahu beri sokongan kepada Muhyiddin, tetapi sekarang mereka mahu, kita juga tidak tahu.

“Mungkin perkara itu telah terkandung di dalam akuan bersumpah yang dimiliki oleh Perdana Menteri ketika ini,” ulasnya.

Beliau menambah, antara cara yang lain untuk membuktikan seseorang Perdana Menteri itu sudah hilang kepercayaan majoriti, ialah melalui usulan undi percaya kepada Perdana Menteri seperti mana yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan pada persidangan Parlimen menjelang September ini.

“Dari segi harfiah perlembagaan, undi percaya dan juga undi tidak percaya sebenarnya tidak diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, dari segi amalan konvensyen, ia boleh dijadikan salah satu cara untuk menyelesaikan konflik sebegini,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa dalam tempoh sehingga persidangan Parlimen diadakan pada 8 September ini, kedudukan Eksekutif atau Jemaah Menteri semasa tidak akan tergugat.

“Bagaimanapun perkara ini boleh berubah sekiranya pihak yang menarik sokongan kepercayaan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri semasa, membuktikan dokumen-dokumen dan akuan bersumpah yang sah di sisi undang-undang dan mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here