Pemuda PN yakin Muhyiddin ada majoriti selesa

0
295

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti selesa di Parlimen untuk terus mentadbir negara.

Ketua Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, ini sekali gus dapat membawa negara keluar daripada krisis melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pemuda PN turut merafak sembah di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk Perdana Menteri menentukan keabsahan beliau di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri tengah hari tadi yang menegaskan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Khairil Nizam berkata Pemuda PN mengecam tindakan lapan Ahli Parlimen dan pihak pembangkang yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik tatkala kerajaan dan para petugas barisan hadapan sedang bertungkus-lumus melawan COVID-19.

Katanya, Pemuda PN turut memuji ketegasan dan prinsip Perdana Menteri menghormati kedaulatan undang-undang dengan tidak melayan desakan supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Khairil Nizam menambah Pemuda PN sentiasa berpegang pada konsep budaya politik matang dan sejahtera, dan akan meneruskan politik khidmat bakti pada rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here