Malaysia perlukan penetapan semula sistem politik

KEMELUT politik negara yang semakin hangat ketika ini memerlukan satu jalan keluar bagi memastikan kestabilan politik dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, suasana semasa politik Malaysia telah mencapai kemuncaknya dan satu penetapan semula sistem politik perlu diadakan dalam usaha untuk menukar sistem pemilihan pemimpin.

Menurut beliau, negara ini telah melihat pelbagai tindakan yang disifatkan tidak bertamadun oleh pemimpin-pemimpinnya sehingga membuatkan rakyat sudah mual dengan budaya politik negara setelah sekian lama.

“Yang pasti, rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap institusi politik dan kepimpinan di negara ini. Yang pasti mereka bukanlah dalam kalangan khalifah yang bersedia menerima teguran jauh sekali untuk berubah,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Hasan menyarankan Institusi Istana agar melaksanakan satu proses ‘political cooling off’.

“Realitinya, negara ini perlu melakukan the great political re-set untuk menukar sistem pemilihan pemimpin. Istana dan rakyat wajib pastikan hanya mereka yang benar-benar bertamadun, bersifat mahmudah dan passionate menggalas amanah rakyat saja terpilih memimpin dan mentadbir negara ini untuk kembali makmur dan aman damai,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Hasan turut mencadangkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menggantung parlimen buat sementara waktu dan mengisytiharkan darurat keselamatan kepada negara.

“Dalam tempoh darurat ini Tuanku pimpinlah kerajaan interim mentadbir negara, mengeluarkan ia dari ‘the dark ages’ yang melandanya, disebabkan wabak covid, kegawatan ekonomi, serta malapetaka politik,” ulasnya.

Beliau berpandangan bahawa sekiranya Malaysia akhirnya dikeluarkan daripada ‘zaman gelap’ ini, kepimpinan negara dapat diserahkan kembali kepada pemimpin-pemimpin yang dipilih rakyat dan direstui Baginda berdasarkan sistem pemilihan demokrasi yang lebih bertamadun.

“Sistem demokrasi dan pemilihan sedia ada boleh dikekalkan tetapi wajib diperketatkan dan diislahkan bagi memastikan tiada sesiapa yang bersifat mazmumah, cauvinis dan anti nasional layak bertanding merebut 222 kerusi Parlimen dan ditabalkan sebagai ‘Wakil Rakyat’,” katanya.