Hubungan istana-kerajaan kekal baik – Nazri

HUBUNGAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Yang di-Pertuan Agong masih kekal baik.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, tidak seperti yang diperkatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya berlaku penderhakaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menambah, penjelasan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi merungkai banyak perkara khususnya berhubung isu derhaka yang dimainkan Zahid sebagai alasan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Tambah beliau, peemohonan Muhyiddin kepada Agong untuk menyelesaikan masalah keabsahan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada bulan September jelas menunjukkan hubungan baik antara kerajaan dan istana.

“Kalau tidak sudah tentu PM keluar mungkin dengan perasaan dukacita permohonannya tidak diperkenankan. Tapi hari ini kita tahu bahawa Agong membenarkan untuk disahkan keabsahan ini di Dewan Rakyat,” kata Nazri.

Menurut beliau, tindakan Zahid yang membuat tuduhan derhaka terhadap kerajaan walhal umum mengetahui UMNO juga adalah sebahagian daripada kerajaan sedia ada ketika ini dengan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas sama sekali.

“Dan apabila semalam ada Mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) sudah putuskan kemudian diumumkan oleh Zahid bercakap tentang isu derhaka ini saya rasa tersinggung. Dan saya rasa tuduhan itu berat dan tidak sepatutnya ditujukan kepada mana-mana Ahli Parlimen apatah lagi ditujukan kepada kerajaan yang saya adalah sebahagian daripada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ini,” katanya dalam satu laporan yang disiarkan oleh Agenda Daily.

Menurutnya lagi, Zahid tidak berhak untuk membuat tuduhan derhaka terhadap mana-mana individu kerana beliau bukan wakil kepada Yang di-Pertuan Agong dan memuji kebijaksanaan Tuanku yang tidak mudah menghukum rakyat dengan sewenang-wenangnya.

“Yang boleh mengeluarkan kenyataan hanya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku seorang individu yang bijaksana dan sebagai raja tidak mudah seorang raja hendak menghukum rakyat.” katanya.

Nazri berkata, pendirian Yang di-Pertuan Agong dapat meredakan suhu politik negara susulan kekecohan yang dicetuskan oleh kumpulan dalam UMNO yang memihak kepada Zahid.

“Saya rasa Insya-Allah ia dapat meredakan (suhu politik) selepas pertemuan PM dengan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

Terdahulu dalam satu Perutusan Khas pada Rabu, Muhyiddin selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong memberitahu mendapat perkenan untuk membuktikan keabsahan sebagai PM yang akan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat September ini. – SB