Tayang tanggal gelang ‘pink’, kompaun RM5,000

KOMPAUN RM5,000, itulah ‘habuan’ yang diterima seorang remaja perempuan ekoran tindakannya yang menanggalkan gelang kuarantin merah jambu dan menayangkannya di TikTok.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat yang memaklumkan perkara itu memberitahu, remaja berusia 17 tahun berkenaan dikenakan kompaun setelah video yang dimuat naik olehnya di laman sosial TikTok tular sejak Isnin.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sekitar Kamunting dan pihak polis berjaya mengesan remaja tersebut yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, remaja terbabit didapati menjalani ujian saringan COVID-19 Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperoleh.

“Difahamkan ketika kejadian, dia dikatakan singgah di rumah rakannya di kawasan itu.

“Kompaun dikenakan kerana remaja itu didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” jelasnya.

Sehubungan itu, Osman turut menasihati orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi penularan wabak COVID-19.

“Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Video berdurasi 31 saat yang tular sejak semalam itu memaparkan remaja berkenaan menanggalkan gelang kuarantin merah jambu sebelum menyimpan gelang itu ke dalam beg ketika keluar bersiar-siar. – SB