[VIDEO] Empat hari bersidang, apa rakyat dapat?

0
858

JIKA diselusuri hantaran Facebook, ciapan Twitter dan tulisan-tulisan di LinkedIn, rata-ratanya warganet sama ada secara berjenaka, sinis atau sindiran menempelak para pemimpin pembangkang  yang memperlakukan sidang khas Parlimen baru-baru ini seolah-olah satu pertunjukan sarkas dan komedi.

Bermula hari pertama sidang dengan tindakan beberapa ahli parlimen pembangkang yang tidak menghormati unjuran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memulakan mesyuarat dengan bacaan Al-Fatihah sehinggalah hari keempat di mana dewan menjadi kecoh dengan desakan blok pembangkang agar Perdana Menteri makzul – sidang yang sepatutnya membincangkan permasalahan covid-19 dan ekonomi negara tidak berjalan sebagaimana yang digembar-gemburkan pimpinan pembangkang di luar dewan sebelum ini.

Bahkan, juru bahasa isyarat yang menterjemahkan kata-kata mereka sewaktu sidang turut pening kepala melihat gelagat individu yang sepatutnya bersikap profesional dan bertamadun.

Apa yang terserlah pada Sidang Parlimen kali ini sepatutnya membuka mata rakyat terhadap kualiti pimpinan yang di undi pada ketika Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.

Sebagai wakil rakyat tanggungjawab paling utama seorang pemimpin ialah untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Adakah ini berlaku?

Rujuk kembali kepada sidang Parlimen yang telah berlangsung.

Jika benar Ahli-ahli Parlimen ini mementingkan rakyat, bagaimana tujuh orang daripada mereka boleh menerima, mengiktiraf dan meluluskan penggunaan dadah antiparasit, Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19?

Benar tidak salah mencadang, tetapi persoalannya apa sandaran fakta dan bukti saintifik kukuh yang boleh mewajarkan cadangan yang diberi?

Kata untuk rakyat, tetapi masih buat cadangan dan gesaan secara tidak berfakta ataupun dibuktikan keberkesanan serta keselamatannya.

Selain itu tanyalah kepada sesiapa jua yang mengikuti perjalanan sidang Parlimen selama empat hari itu, pada minit yang manakah blok pembangkang duduk diam dan mendengar dahulu pembentangan mengenai usaha menangani Covid-19 yang ditelah dijalankan oleh kerajaan?

Kemudian selepas mendengar, membahaskan pembentangan berkenaan dengan ilmiah dan profesionalism yang tinggi?

Jawapannya tiada.

Ini membawa kepada persoalan jika tiada perbahasan yang berlandaskan keilmuan dan profesionalism yang tinggi, bagaimana satu pendekatan yang lebih baik daripada yang sedia ada boleh dicapai?

Dan jika itu berlaku, bagaimana nasib rakyat dalam menghadapi cabaran wabak dan ekonomi ini dapat diperbaiki?

Cukup dengan dua persoalan itu sahaja.

Kita semua mampu berfikir dengan baik dan membuat kesimpulan berdasarkan apa yang telah berlaku dan direkodkan di media-media sosial dan juga platform-platform pemberitaan.

Bukannya untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan, tulisan ini tujuannya ialah untuk mengajak para pembaca membuka minda dan benar-benar memikirkan mengenai mereka yang kita pilih sebagai wakil rakyat.

Sebagai penutup, fikirkan mengenai nasihat bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dalam wawancara beliau hari ini.

Kata beliau sidang parlimen yang diadakan sebenarnya satu peluang keemasan untuk para pimpinan bekerjasama mencari satu penyelesaian holistik bagi masalah Covid-19 dan ekonomi yang sedang melanda negara.

Sidang itu bukannya peluang untuk menumbangkan kerajaan dan melantik pimpinan baharu.

Lojik di sebalik kata-kata Tun Musa Hitam itu sama seperti rahsia di sebalik pepatah Melayu – jangan sampai yang menang jadi arang kalah jadi abu.

Jika objektif utama para pimpinan ini adalah untuk berkuasa maka tepuk dada tanyalah selera.

Adakah kuasa yang mereka dambakan itu akan membawa makna apabila negara lumpuh dek Covid-19 dan menjadi papa dek mulut ekonomi yang diakibatkan mereka. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here