RMK-12: Undang-undang sivil, syariah diperkukuh tangani isu wanita

RANGKA kerja bagi memperkasakan gender akan diperkenalkan termasuk pengukuhan undang-undang sivil dan syariah bagi menangani isu berkaitan wanita, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menegaskan langkah itu antara usaha kerajaan bagi memperkasakan hak wanita di negara ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga menyediakan inisiatif bagi menggalakkan lebih ramai golongan hawa terus dan kembali bekerja.

“Usaha memperkasakan gender dalam pembangunan akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan.

“Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025. Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat.

“Ini akan mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja,” katanya ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperkukuhkan pembangunan ekonomi usahawan wanita dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran.

Pada masa sama, beliau berkata, golongan itu juga diberi galakan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian untuk memperluas pasaran.