SURUHANJAYA Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kini sah memberikan perlindungan dan taraf ‘pelarian Malaysia’ kepada Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat.
Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) Thailand, Sunai Phasuk ketika mengesahkan perkara ini berkata, adalah menjadi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa Thailand dan tidak boleh membenarkan sesuatu tindakan tidak boleh membahayakan Sajat.
“Thailand tertakluk di bawah prinsip peraturan antarabangsa, tiada penghantaran pulang paksa yang melarang menghantar pulang seseorang ke negara di mana mereka mungkin menghadapi pendakwaan atau penganiayaan serius,” katanya menurut laporan portal Agenda Daily.
Sunai berkata demikian ketika mengulas langkah pihak berkuasa Malaysia untuk memohon ekstradisi ke atas Sajat yang ditangkap di Thailand atas kesalahan imigresen.
Beberapa isu berhubung dokumentasi dan perundangan perlu dilengkapkan sebelum Sajat dapat dibawa balik ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
Sajat diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada 23 Februari kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Sajat bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.
Media melaporkan Sajat telah memohon status pelarian dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian dan sedang mengintai untuk pindah ke Australia.
.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.