Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tajuddin sedia cabar Zahid, tanding Presiden UMNO -

Tajuddin sedia cabar Zahid, tanding Presiden UMNO

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menawarkan dirinya untuk bertanding tiga kerusi teratas, termasuk jawatan presiden, bagi memperbetulkan semula perjalanan parti itu.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak itu berkata beliau telah diminta oleh ahli-ahli UMNO supaya bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi parti pada pemilihan akan datang.

Tajuddin yang dipecat daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya UMNO oleh presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, ahli parti itu yakin kemampuannya untuk melakukan perubahan serta memberi khidmat yang dikehendaki mereka.

“Saya menawarkan diri untuk jawatan top 3. Ada yang ingin melihat saya untuk memberikan khidmat kepada parti. Ada yang kata kalau saya bertanding Naib Presiden, insya-Allah boleh menang. Ada yang kata, kenapa bertanding yang susah-susah? Cari tempat yang boleh menang sahaja.

“Ada yang kata mungkin Timbalan Presiden. Jadi sama ada Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden. Saya bukan nak kejar jawatan, tetapi yang saya kejar adalah perkhidmatan kepada parti dan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Tajuddin menyokong supaya pemilihan parti itu dipercepatkan untuk membina semula kesatuan dalam kalangan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, jika ada yang mendakwa bahawa pemilihan akan menyebabkan perpecahan parti, maka perkara itu harus diselesaikan dengan cepat supaya tidak lagi menjadi kebimbangan ahli UMNO itu sendiri.

“Sekarang parti tidak sekata, pelan tindakan, strategi perbincangan pun tidak ada. Perbincangan dalam kalangan kepemimpinan sama ada peringkat pusat, negeri, peringkat bahagian pun tidak ada, perbincangan ke arah pilihan raya, apa perlu dilakukan untuk mengukuhkan jentera parti?

“Kepemimpinan UMNO tidak menunjukkan bahawa parti UMNO di semua peringkat faham dari segi hala tuju. Ini menunjukkan kelemahan dalaman parti,” katanya.