PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) menasihatkan rakyat supaya tidak bimbang dengan momokan ‘gelombang hijau’ yang sedang digembar-gemburkan sesetengah pihak hari ini.
Sebaliknya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu berasa lebih bimbang akan kegagalan kerajaan hari ini menguruskan negara, khususnya dalam soal ekonomi.
“Sekarang makin ramai jatuh miskin. Tak ada duit nak makan. Pendapatan mengecil, mengecut. Harga barang melambung.
“Ada kamu melihat apa yang kerajaan hari ini telah lakukan? Atau (sekurang-kurangnya ) meyakinkan kita bahawa mereka sedang melakukan sesuatu hari ini.
“PM (Perdana Menteri) kata tunggu hingga Ogos. Tapi kita dah menunggu sejak dia jadi PM. Sebagai rakyat Malaysia kita tak mampu menunggu sebegitu lama. Sebagai rakyat, saya marah sekarang, kerana (kerajaan) tidak memberikan jalan penyelesaian.
“Macam tidak tahu hendak mentadbir kerajaan. Jadi tak perlu bimbang tentang ‘gelombang hijau’ atau bagaimana kerajaan PN pada masa akan datang akan jadi.
“Kerajaan hari ini, dia kena tunjukkan kemampuan. (Tapi) dia tak buat apa apa pun,” katanya menjawab soalan peserta pada Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Shah Alam pada Sabtu.
Yang turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Antara lain peserta berkenaan bertanya tentang masa depan PN dengan Pas yang dilihat memiliki lebih banyak kerusi dan juga signifikan ‘gelombang hijau’ yang hangat diperkatakan dan dipergunakan sesetengah pihak menakutkan kumpulan masyarakat tertentu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan PN akan menjadi sebuah kerajaan yang adil, amanah dan bertanggungjawab, tidak kisah siapa yang akan menerajui kerajaan tersebut.
Katanya, tiga elemen itu telah menjadi teras pentadbiran kerajaan PN sebelum ini dan ia akan terus dipertahankan demi kesejahteraan rakyat.
“Ini telah kita amalkan. Sewaktu kita memerintah ada kita bersikap tidak adil. Apabila kita melaksanakan program vaksinasi, ada kita menetapkan dahulukan kaum Melayu kerana kita parti Melayu. Sudah tentu tidak.
“Semasa pandemik Covid-19, amanah kita adalah menyelamatkan nyawa. Kita berjaya lakukan,” katanya.
Muhyiddin menambah, dalam pentadbiran PN semua keputusan dibuat secara kolektif dan dilaksanakan secara bersama.
“Pas yang sebahagian daripada kerajaan, wakil mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan profesional,” ujarnya merujuk beberapa bekas menteri kabinet seperti Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim dan Datuk Takiyuddin Hassan.
Malah kecemerlangan Pas ujarnya, dapat dilihat dalam kejayaan mentadbir tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Sehubungan itu beliau sekali lagi mengulangi nasihat kepada rakyat Malaysia supaya tidak bimbang akan slogan yang di sebut ‘gelombang hijau’.
“Saya tak tahu dari mana dia datang. Sekarang saya boleh katakan gelombang hijau dan gelombang biru adalah sama iaitu Perikatan Nasional. Itu yang nyata,” tegasnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.