KERAJAAN digesa mengambil pendekatan bersepadu bagi meningkatkan jumlah kaunselor kesihatan mental memandangkan bilangan sedia ada “terlampau sedikit” untuk menampung keperluan semasa.
Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkata, jumlah 10,136 ketika ini tidak mencapai nisbah diperlukan, iaitu seorang pakar bagi setiap 500 rakyat (1:500).
“Jumlah kaunselor perlu ditingkatkan secara serius, kerana banyak kes kecelaruan mental tidak melibatkan penyakit mental,” katanya ketika membahaskan pindaan Akta Kesihatan Mental di Dewan Rakyat.
Gesaan seperti ini disuarakan pada Oktober tahun lalu.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat berkata sebanyak 60,000 kaunselor diperlukan bagi memberi perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial berterusan bagi mengurangkan kesan psikologi yang dialami rakyat.
Bagi menambah bilangan kaunselor, ia ketika itu menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan program latihan kaunselor di peringkat ijazah pertama dan sarjana di institusi pengajian tinggi awam serta swasta.
Rang Undang-undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 bertujuan meminda Akta Kesihatan Mental 2021 susulan pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574).
RUU itu antara lain mewujudkan pegawai intervensi krisis dan memberikan kuasa kepada mereka untuk menangkap seorang yang cuba membunuh diri bawah Seksyen 11 Akta 615.
Bersekali gesaan menambah bilangan kaunselor, Noraini mencadangkan setiap tangkapan mesti mendapatkan nasihat pihak yang ada kuasa perihal kesihatan mental, seperti seorang kaunselor.
“Ini kerana ada perbezaan besar antara kecelaruan mental dengan penyakit mental. Kita tak mahu – dengan kuasa yang diberikan kepada pegawai diberi kuasa – tangkapan dibuat secara terburu-buru.
“Bagi memenuhi aspirasi ini, jumlah kaunselor yang berdaftar kena tingkatkan dengan lebih agresif,” katanya, lapor FMT.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.