UNESCO iktiraf Bukit Bendera tapak rizab biosfera

0
451
PEMANDANGAN di kawasan sekitar Bukit Bendera. - FOTO BROUFIGARI

PERTUBUHAN Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga di bawah Program Man and the Biosphere (MAB).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebelum ini UNESCO memberi pengiktirafan yang sama terhadap Tasik Chini, Pahang (2009) dan Banjaran Crocker, Sabah (2014).

Menurut beliau, pengumuman tersebut dibuat pada 15 September 2021 semasa mesyuarat International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB).

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai pusat fokus nasional kepada program MAB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan ini.

“Pengiktirafan ini merupakan kejayaan buat Malaysia amnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Takiyuddin menambah, rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar merupakan zon hijau kepada Pulau Pinang.

Beliau memberitahu, ia melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuklah Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

Takiyuddin menambah, sebanyak 20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan ini telah disenaraikan sebagai terancam dalam International Union for Conservation of Nature’s Red List (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan Penang Island Rock gecko.

Menurut beliau, kementerian yakin bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera ini dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB. – SB