Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pandangan Tommy terhadap penjawat awam jelik - CUEPACS -

Pandangan Tommy terhadap penjawat awam jelik – CUEPACS

KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengaitkan penjawat awam dengan parti politik sebagai jelik.

Presidennya, Adnan Mat berkata, Tommy sepatutnya tidak perlu mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing.

Menurut beliau, penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.

“Sebagai jentera kerajaan, fokus penjawat awam adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, Tommy telah mengaitkan penjawat awam melalui ucapannya dalam sebuah webinar yang bertajuk ‘UMNO Redux: What Next For Malaysia?

Adnan menambah, Tommy dilihat telah membuat kesimpulan mengenai pemikiran politik penjawat awam tanpa dapatan atau kajian yang kukuh bagi membuktikan apa yang didakwa oleh beliau.

Beliau memberitahu, Tommy mendakwa bahawa penguasaan sebuah parti politik ketika ini begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin bahawa parti tersebut sinonim dengan Malaysia.

“Sebagaimana larangan penjawat awam untuk tidak menyentuh atau mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, CUEPACS berharap perkara tersebut turut dihormati oleh pemimpin politik dengan tidak mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana pertikaian politik.

:Penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional dan neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” jelasnya.

Adnan berkata, tindakan mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik hanya memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Pada masa yang sama, CUEPACS menyeru seluruh penjawat awam untuk kekal fokus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara kembali di landasan yang terbaik,” katanya.