Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kereta langgar kon sebelum rempuh belakang treler, penumpang warga emas maut -

Kereta langgar kon sebelum rempuh belakang treler, penumpang warga emas maut

SEORANG penumpang warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya melanggar kon sebelum merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 334.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, Tapah, pagi ini.

Wanita berusia 81 tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kira-kira jam 5.30 pagi, sebuah treler muatan alat ganti kereta yang dalam perjalanan dari Johor ke Padang Besar, Perlis telah terbabas lalu melanggar pembahagi jalan besi di tengah lebuhraya.

Menurutnya, kira-kira sejam kemudian, sebuah kereta yang datang dari arah sama telah hilang kawalan lalu melanggar kon keselamatan dan seterusnya terbabas melanggar bahagian belakang treler itu.

“Dalam kemalangan ini penumpang belakang kereta yang berumur 81 tahun telah meninggal dunia di Hospital Tapah semasa menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya dalam kenyataan di Tapah, lapor Astro AWANI.

Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Prathiparaj Punasagaran di talian 014-6178095.

“Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan supaya kemalangan sebegini dapat dielakkan,” ujarnya.