PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (Nafas) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee pada majlis pengumuman agihan dividen DPK itu di sini hari ini berkata, nilai keseluruhan agihan dividen itu berjumlah RM7.6 juta melibatkan 5,323 pelabur.
Menurutnya, DPK mencatatkan keuntungan RM9.05 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2020 berbanding RM9.29 juta tahun sebelumnya.
“Meskipun 2020 merupakan tahun yang sukar berikutan ketidaktentuan pasaran akibat pandemik COVID-19, Nafas melalui DPK telah fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli-ahlinya,” katanya.
Dengan lebih sejuta ahli peladang terdapat di seluruh negara, Ronald berharap lebih ramai melabur dalam DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan serta membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani sekali gus mengukuhkan sektor pertanian negara secara keseluruhannya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.