Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu pemasangan kipas ekzos di surau -

Pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu pemasangan kipas ekzos di surau

SEORANG pengarah syarikat penyelenggaraan pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM4,150 berhubung kerja-kerja pembekalan dan pemasangan kipas ekzos di surau perempuan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, lima tahun lalu.

Kamal Karim, 47, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bursar UPM pada 21 Oktober 2018 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan minimum denda lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu invois bagi semua kerja-kerja terbabit tanpa pesanan belian berjumlah RM4,150 kepada pegawai kewangan UPM.

Bagi pertuduhan pilihan, Kamal didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh, yang menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu Kamal perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Shalehhuddin Salam. – Bernama