Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri -

Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri

PANDEMIK selama lebih setahun lalu telah menjejaskan kesihatan mental kebanyakan individu, yang meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

Justeru, amat penting bagi semua pihak memainkan peranan bagi mengatasi peningkatan risiko tingkah laku bunuh diri ketika ini, yang dipengaruhi akibat pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa semua pihak yang berdepan gangguan emosi untuk mendapatkan bantuan, manakala individu lain boleh memainkan peranan dengan mengambil tahu situasi keluarga dan rakan masing-masing.

“Bunuh diri boleh dielakkan. Kita semua perlu memainkan peranan. Dapatkan bantuan, belajar untuk mengenal pasti tanda tingkah laku, tunjukkan keprihatinan, jangan diskriminasi.

“Kami bersedia untuk membantu anda,” katanya menerusi Twitter, hari ini, sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD) 2021.

WSPD yang disambut pada 10 September setiap tahun, dianjurkan Persatuan bagi Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi menggambarkan komitmen global untuk memberi fokus terhadap pencegahan bunuh diri.

Sementara itu, Khairy menerusi rakaman video, menegaskan individu yang berdepan gangguan emosi perlu menyedari yang mereka tidak keseorangan.

“Kepada individu yang sedang bertarung dengan kemurungan, keresahan. Anda tidak keseorangan. Jangan anggap anda keseorangan, walaupun anda di saat paling gelap.

“Bantuan tersedia. Harap anda dapat mengatasinya dan kami sedia membantu anda,” katanya.

Khairy turut meletakkan dua talian yang boleh dihubungi bagi mereka yang berdepan gangguan emosi dan memiliki hasrat bunuh diri, iaitu Talian Kasih (15999) dan Befrienders (03-76272929). – SB