SEKURANG-kurangnya tiga daripada tujuh kenderaan remuk selepas dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di Persiaran Bukit Rahman Putra 1, Sungai Buloh dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 6.20 petang itu, sebuah lori dengan muatan tar dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh menuruni bukit akibat mengalami masalah brek.
“Lori tersebut merempuh tiga kereta jenis Perodua Myvi, Axia dan Honda Jazz, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua van serta sebuah lori kren yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat merah.
“Kesemua mangsa berusia lingkungan antara 35 hingga 57 tahun tidak mengalami kecederaan dan kemalangan hanya melibatkan kerosakan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya kini menjalankan siasatan terhadap pemandu lori berusia 35 tahun itu termasuk menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti individu tersebut memandu bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.
Kes disiasat Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian membabitkan rempuhan lori sebelum ini dilaporkan berlaku di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Isnin lepas melibatkan lima kenderaan, namun tiada kemalangan jiwa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.