Hala tuju UMNO yang sudah dijangka

0
286

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

PERSIDANGAN UMNO kali ini menepati ramalan akan menjadi pentas bagi mempertahankan keputusan parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) hingga dapat membentuk Kerajaan Perpaduan.

Penjelasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam taklimat tertutup semalam juga dapat diterima sebulat suara semua perwakilan seperti mana yang diakui oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Johari Ghani walaupun prinsip perjuangan parti itu berlawanan dengan apa yang diperjuangkan PH.

Para perwakilan juga dapat menerima bahawa kumpulan yang setia dengan prinsip parti dianggap pengkhianat manakala kumpulan yang menggadaikan prinsip parti dijulang dan akan terus dipertahankan.

Pentas persidangan UMNO yang sebelum ini menjadi medan bagi menghentam DAP juga sudah menjadi sebaliknya apabila Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan secara terbuka memuji DAP yang disifatkannya berterus-terang dan tidak bermuka-muka dalam menjalinkan hubungan dengan UMNO.

Seperti yang semua sedia maklum, DAP yang dulunya musuh nyata kini sudah menjadi teman mesra yang kini semuanya indah-indah belaka tidak ubah seperti pasangan mempelai yang baru disatukan dalam ikatan rasmi.

Segala tohmahan, tuduhan dan serangan antara satu sama lain di pentas politik yang baru saja berlalu baru-baru ini seolah-olah hilang dibawa di angin yang lalu seiring dengan kerjasama yang tidak dijangka-jangka itu.

Dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap parti juga, Mohamad Hasan ataupun Tok Mat nampaknya tidak melihat kelemahan pimpinan parti itu sebagai punca mereka ditolak pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu, tetapi sebaliknya menyalahkan parti lawan yang didakwa memburukkan UMNO melalui media sosial.

Memang dapat dibaca dakwaan itu ditujukan kepada Perikatan Nasional (PN) tetapi Tok Mat mungkin lupa atau buat-buat lupa bagaimana gelaran dan serangan PH terhadap UMNO-BN hingga tercetusnya lagu “hoi-hoi ya hoi”.

Dalam pada itu, kedudukan Zahid dan Tok Mat juga nampaknya tidak tergugat apabila ketua-ketua UMNO bahagian secara terang-terangan menyatakan yang kedua-dua jawatan tersebut patut dikekalkan dan tidak wajar dipertandingkan pada pemilihan yang akan datang.

Maka, sebagai pemerhati luar yang tidak berada dalam UMNO, penulis melihat tindak-tanduk UMNO ini merosakkan lagi imej UMNO yang sedia sedia sudah ditolak dengan kuat oleh pengundi atas pagar pada PRU15 yang lalu.

UMNO juga susah untuk bangkit selepas ini kerana tindakan pimpinan atasan membawa UMNO jauh menyimpang daripada landasan sebenar yang mana parti itu bukan lagi tempat yang sesuai untuk menjadi tempat pergantungan bagi orang Melayu dan Islam.

Parti itu berasakan tindakan bekerjasama dengan PH yang dianggotai DAP adalah langkah tepat dan kurang mudarat tetapi tanpa mereka sedari tindakan itu akan menguburkan UMNO dengan lebih pantas.

Ini kerana tidak sebegitu mudah DAP yang mereka tentang dan lawan sejak sekian lama akan sekelip mata mengubah tanggapan dalam tempoh yang singkat terhadap UMNO.

Adalah amat janggal UMNO yang hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen akan dihormati dalam koalisi itu berbanding DAP yang memenangi 40 kerusi.

Dalam sejarah perjuangan PH juga, DAP adalah super senior jika dibandingkan dengan UMNO yang setahun jagung menjalinkan kerjasama untuk berada dalam PH.

Penulis yakin selepas ini suara UMNO dalam kerajaan PH akan perlahan-lahan dipinggirkan dan pada masa itu UMNO sudah tiada tempat untuk berpaut kerana rakyat dan penyokong akar umbi tidak lagi mempercayai prinsip perjuangan mereka. Kita tunggu dan lihat nasib yang bakal menimpa UMNO selepas ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here