PUSAT Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) perlu diperkasa dan dimartabatkan sebagai pengawal selia etika dan integriti perkhidmatan awam bukannya dibubarkan dengan alasan pertindihan kuasa.
Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Murtadha Mohamed berkata, kesalahfaham umum mengenai fungsi dan kuasa agensi itu menyebabkan ia dilihat mempunyai kuasa yang bertindih dengan agensi yang lain.
Hakikatnya, tegas beliau, GIACC adalah agensi pemantau dan penyelarasan dan mengawal selia isu integriti dalam perkhidmatan awam.
“Ketika ini, peranan GIACC itu sendiri tidak jelas peranannya sebagai pertikaian tugas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam mengendalikan bencana alam.
“Sama juga seperti GIACC yang dikaitkan dengan tugas Unit Integriti Agensi Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang mana hakikatnya tugas dan peranan mereka berbeza,” katanya mengulas cadangan kerajaan mahu membubarkan GIACC kerana berlaku pertindihan tugas.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan untuk membubarkan GIACC akan diteliti, kerana dilihat berlaku pertindihan tugas.
Anwar berkata sekiranya bidang GIACC boleh dikendalikan SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka badan-badan yang berlaku pertindihan perlu dikurangkan kerana setiap agensi yang bertindih itu menanggung kos yang tinggi.
Murtadha menjelaskan SPRM tugasnya menguat kuasa dalam menjaga isu yang berkaitan rasuah dan integriti meliputi semua termasuk swasta bukan hanya perkhidmatan awam.
Katanya, perkhidmatan GIACC pula mengawal selia isu integriti dalam perkhidmatan awam yang tidak bertindih dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bertindak menawarkan kursus dan memberi latihan dan penyelidikan berkaitan isu rasuah.
“Saya melihat GIACC perlu diperkasa dari sudut hebahan kerana tidak ramai yang faham peranan dan fungsinya. Ada yang menyamai tugasnya dengan kawalan berkaitan kewangan dan perbelanjaan kerajaan semata-mata, hakikatnya tidak begitu.
“Skop dan bidang tugas kurang jelas menyebabkan isu peruntukan kewangan dan pertindihan tugas dibangkitkan, sebab itu saya kira Perdana Menteri menyatakan mahu mengkaji kewujudannya,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, berkata pertukaran kerajaan beberapa kali dan kegagalan menyegerakan inisiatif antirasuah nasional menjadi punca utama pusat itu tidak menonjol sebagai sebuah agensi penting kerajaan.
Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang sepatutnya mampu membentuk tatakelola dan tadbir urus kerajaan yang baik dan berintegriti tergendala dan hanya mampu mencapai sekitar 30 peratus sejurus dilancarkan secara besar-besaran empat tahun lalu.
Malah krisis politik yang berterusan termasuk pertukaran beberapa kerajaan dalam tempoh empat tahun ini juga memberi kesan kepada tindakan dan fungsi GIACC sendiri.
Katanya, GIACC adalah unit perancangan tatakelola kerajaan yang membantu menyediakan NACP 2019-2023, yang penting untuk mewujudkan perjalanan kerajaan yang lebih baik dan lebih berintergriti.
“Bagaimanapun, ada beberapa inisiatif dan dasar dalam NACP 2019-2023 itu tidak diteruskan atau ada yang ditanghuhkan pelaksanaannya.
“Contohnya inisiatif untuk tidak melantik orang politik dalam anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), telah tidak diteruskan.
“Jadi isunya bukan GIACC yang menjadi masalahnya,” katanya kepada BH, di sini hari ini
Mengulas lanjut, Anis Yusal berkata, GIACC adalah unit perancangan tatakelola kerajaan dan perlu dilihat sama penting dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang turut mempunyai pertindihan dengan agensi lain.
“Sekiranya GIACC perlu ditutup, adakah logik yang sama boleh digunakan untuk menutup EPU disebabkan agensi itu juga berlaku pertindihan namun EPU dianggap perlu sebagai agensi perancang yang mengkoordinasi semua hal berkaitan pembangunan negara.
“Begitulah halnya GIACC dlm perancangan dan pemantauan hal-hal yg berkaitan dengan tatakelola dalam negara. GIACC menjadi agensi yang menyelamat ketirisan dan mengelakkan pembaziran dengan mengetatkan sistem dan prosedur governans dalam negara,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju untuk meletakkan GIACC sebagai sebuah unit kecil di bawah SPRM, yang akan memberi kesan kepada NACP 2019-2021 itu sendiri.
“Pelan itu harus dipantau oleh agensi yang bebas. Tidak mungkin SPRM memantau diri mereka sendiri. Boleh ke EPU diletakkan di bawah agensi yang mereka pantau,” katanya.
Beliau berkata sebenarnya, sebelum ada GIACC pun, sudah ada Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).
“Kalau dikatakan GIACC bertindih dengan agensi lain….ia mungkin bertindih dengan JITN. Tapi JITN sudah digabungkan dan disatukan dengan GIACC,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas cadangan kerajaan mahu membubarkan GIACC kerana berlaku pertindihan tugas.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya bidang GIACC boleh dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka badan-badan yang berlaku pertindihan perlu dikurangkan kerana setiap agensi yang bertindih itu menanggung kos yang tinggi.
“Yang penting dalam Pusat Governans (GIACC), prinsipnya itu diterima tapi tidak boleh terlalu banyak,” katanya.
Beliau berkata sebenarnya, sebelum ada GIACC pun, sudah ada Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).
Anis Yusal yang juga bekas Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) yang juga Ketua Pengarah JITN berkata, setiap agensi ada peranan masing-masing.
Katanya, apa yang pasti GIACC sudah memberi manfaat dan berkesan dalam proses pembangunan negara kerana selain menjadi unit perancang mengenai governans negara, agensi itu adalah unit yang memantau pelaksanaan pelan anti rasuah nasional.
“Ini bersesuaian dengan Artikel 5 Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC) bahawa setiap negara yang menandatangan konvensyen itu perlu mempunyai badan yang merancang dan mengawal pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional.”
“Kalau dilihatkan selepas pelancaran Pelan Antirasuah Nasional melalui usaha di GIACC, kita berjaya naikkan kedudukan kita dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dari 47 meningkat ke-53.
“Sebelum ini kedudukan 61 sudah naik ke 51. Jadi jika EPU di Jabatan Perdana Menteri, sebagai perancang ekonomi yang membantu pembangunan negara, GIACC adalah unit perancang governan yang perlu dilihat sama penting,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.