Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki ditahan disyaki miliki bahan pornografi kanak-kanak -

Lelaki ditahan disyaki miliki bahan pornografi kanak-kanak

SEORANG lelaki ditahan di Klang, Selangor kerana disyaki memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada Selasa lepas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah suspek, PDRM mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.

“Siasatan juga mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak, selain, memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.

“Sehubungan itu, polis merampas komputer, cakera keras luaran (external hard disk), penghala (router) dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejayaan tangkapan lelaki itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan suspek kini direman selama empat hari bermula 14 Dis (semalam) hingga Sabtu ini.

Noorsiah berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

— BERNAMA