Telurhabis

Persatuan pengguna minta kerajaan kaji, selesai secara tuntas isu bekalan telur

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan diminta mencari penyelesaian tuntas berhubung isu bekalan telur, bukannya mengimport sumber protein itu yang dilihat mempuyai banyak kelemahan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Dato Seri Dr Jacob George, berpendapat isu utama perlu diperjelaskan adalah adakah kerajaan sudah membuat kajian mendalam mengenai masalah bekalan telur ayam yang membelenggu Malaysia dan tidak kedengaran di negara lain.

“Masalah ini memerlukan penyelesaian segera untuk membendung pembelian panik dalam kalangan pengguna. Sepatutnya harga telur Malaysia kekal murah tanpa perlu memberi subsidi kepada penternak atau rantaian ekosistem sekuriti makanan yang lain.

“Kita mesti berani menyatakan masalah sebenar, kaji semula harga telur kerana kita ada mekanisme kawalan dan langkah untuk membantu pengeluar yang mendakwa mereka ketika ini menanggung kos tinggi dalam industri penternakan, khasnya ayam dan telur,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Beliau menyifatkan syor mengimport telur sebagai tidak praktikal dan akan merugikan penternak tempatan, yang sepatutnya diberi keutamaan.

“Keutamaan perlu diberikan kepada penternak dan petani tempatan, bukannya import dari negara luar apabila ada saja krisis bekalan makanan. Mengimport telur akan membunuh ekosistem penternak dan petani negara.

“Saya menjangkakan kos import itu lebih tinggi sedangkang wang itu boleh digunakan untuk membantu penternak tempatan. Kelemahan import telur juga banyak, jangka hayat tidak lama, akan rosak dalam tempoh tidak sampai 12 hari.

“Sepatutnya inisiatif import telur tidak boleh berlaku, kerajaan wajar wujudkan situasi menang-menang dengan pembekal dalam mengatasi isu ini. Dengar masalah mereka, terumanya dari segi kos bekalan dedak dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyarankan kementerian berkenaan berbincang dengan pakar, penternak dan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan penyelesaian paling tuntas dalam mengatasi isu bekalan telur ayam di negara ini.

Selasa lalu, media melaporkan dalam usaha menampung keperluan pasaran tempatan pada harga yang lebih rendah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengimport bekalan telur dari beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera.

Menterinya, Mohamad Sabu dipetik berkata, inisiatif itu antara langkah jangka pendek yang diambil kementeriannya, selain memastikan telur ayam yang diterima dari sumber luar Malaysia itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata sudah banyak kenyataan dan cadangan dikemukakan sekian lama, namun isu bekalan makanan tidak dapat diselesaikan, terbaharu membabitkan telur ayam.

“Isu ini dipercayai kerana beberapa faktor. Pembekal mahu naikkan harga telur dan minta kerajaan naik subsidi. CAKE mendapati bekalan telur bertambah baik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tetapi kebanyakan telur itu disyaki ‘disimpan’ kerana ada yang sudah busuk.

“Dalam satu papan mesti ada lima hingga enam biji telur dan kadang-kadang semua 30 biji telur sepapan busuk. Namun, belum pun sebulan selepas PRU15, bekalan telur kembali meruncing, pembekal hanya jawab telur tak ada,” katanya.

Katanya, akibat sering terputus bekalan, pengguna cenderung membeli telur dalam kualiti yang banyak kerana bimbang, tambahan pula semakin menghampiri cuti panjang persekolah yang akan menyaksikan banyak majlis keraian diadakan.

“Bekalan kurang, tapi permintaan tinggi. Misalnya bekalan hanya ada 65 hingga 70 peratus, tetapi permintaan 150 peratus. Daripada pemerhatian kami, isu bekalan telur ini memberi kesan mendalam kepada industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kebanyakan kilang kuih tradisional tutup, kedai kek juga mengurangkan pengeluaran dan kebanyakan kedai makan sudah mengurangkan menu yang berasaskan telur,” katanya.