Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jumlah Exco Perlis dikecilkan, jimat perbelanjaan negeri -

Jumlah Exco Perlis dikecilkan, jimat perbelanjaan negeri

PENGURANGAN jumlah Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Perlis dilakukan bagi meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri demi manfaat rakyat secara keseluruhan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, langkah itu juga dapat menjamin penjimatan perbelanjaan kerajaan negeri.

“Dengan kemampuan yang ada, barisan Exco terlibat akan berusaha dengan lebih kuat bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Perlis.

“Mesyuarat pertama Exco dijangka berlangsung pada 29 November ini, namun lokasinya belum ditentukan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini memetik laporan Kosmo!

Terdahulu, seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.

Jumlah senarai Exco yang mengangkat sumpah itu juga kurang berbanding sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu seramai sembilan orang.

Pada Selasa lalu, Mohd. Shukri turut mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan di negeri ini setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mohd. Shukri yang juga ADUN Sanglang berkata, kriteria pemilihan jawatan Exco juga mengambil kira kebolehan pemimpin terlibat dalam setiap portfolio disediakan.

Tambahnya, PN juga akan cuba melaksanakan segala janji-janji yang terkandung dalam manifesto dengan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat negeri ini.

“Jangan harapkan bulan bintang kerana kami pun masih baru, apa yang kami janji akan cuba ditunaikan sedaya upaya demi memuaskan hati seluruh rakyat,” katanya.