PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini berdasarkan sokongan yang dilihat semakin meningkat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata di sebalik pelbagai ramalan politik, beliau melihat sokongan semakin jelas khususnya dalam kalangan pengundi muda.
“Jangkaan ini berdasarkan sokongan kepada PN yang semakin meningkat dan mood perubahan yang ditunjukkan rakyat sehingga kini.
“Pengundi muda mahu sebuah kerajaan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. Trend sokongan semakin meningkat ini dijangka akan lebih menyerlah pada hari-hari terakhir kempen,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, tidak timbul soal gabungan politik buat masa ini dan bagi gabungan itu usaha berterusan bagi membentuk kerajaan PN yang dipilih oleh majoriti rakyat mesti ditingkatkan.
“Apa yang dinyatakan SUA PAS (Setiausaha Agung PAS) hanyalah pilihan sedia ada dan telah sedia diulas oleh pelbagai pihak,” katanya, lapor Agenda Daily.
Mengulas lanjut, calon Parlimen Kubang Kerian dan DUN Cheka itu berkata rakyat hanya mempunyai satu pilihan dalam memastikan kerajaan yang terbentuk nanti dalam kalangan yang bebas daripada sebarang penyalahgunaan kuasa mahupun rasuah.
“Rakyat dan penjawat awam telah serik di bawah Pakatan Harapan selama 22 bulan dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau.
“Demikian juga BN dengan pelbagai kemelut kluster mahkamah, terpalit salah laku dalam kalangan sebahagian pimpinan menyebabkan rakyat hanya punyai satu pilihan, iaitu kerajaan PN.
“Saya yakin kita mampu lakukannya,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pada PRU-15.
Namun dalam kenyataan terbaharunya, beliau berkata apa yang disebutnya berhubung penggabungan PN dan BN selepas PRU-15 telah diambil di luar konteks dan tajuk berita itu juga mengelirukan pengundi.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh Perikatan Nasional akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.
“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema Perikatan Nasional iaitu Prihatin, Stabil dan Bersih.
“Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di Perikatan Nasional berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-15,” kata Takiyuddin.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.