Johor bakal terima 400,640 dos vaksin dari Singapura, UAE

0
237
Vaksinasi Covid-19 (gambar hiasan)

OHOR bakal menerima sebanyak 400,640 dos vaksin Covid-19 sumbangan Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sumbangan Singapura adalah hasil persahabatan erat antara negeri ini dan republik itu, manakala sumbangan dari UAE adalah hasil usaha bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang kini Menteri Kanan Pertahanan.

“Dalam masa terdekat ini, Singapura akan menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan Johor. UAE pula akan menyumbang 300,000 dos vaksin SinoPharm,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, jumlah vaksin yang diterima oleh Johor di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) antara tempoh 1 Mac sehingga semalam adalah sebanyak 4,713,800 dos.

“Vaksin yang diterima merangkumi keluaran Pfizer sebanyak 2,460,510 dos, vaksin Sinovac sebanyak 1,842,540 dos dan AstraZeneca sebanyak 410,750 dos,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, bagi meringankan beban kerja Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik diambil pelbagai agensi kerajaan.

Menurut beliau, ia termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Dalam aspek pendaftaran program vaksinasi, kerajaan Johor menggerakkan sukarelawan Southern Volunteer dan juga program serta kempen dilaksanakan Pejabat Daerah, penghulu dan Jabatan Perpaduan.

“JKNJ juga melancarkan inisiatif Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara virtual bagi mengurangkan kesesakan di semua 11 CAC fizikal yang beroperasi di Johor sekali gus mengurangkan bebanan petugas,” ujarnya. – SB