Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes demam denggi meningkat 9.3 peratus -

Kes demam denggi meningkat 9.3 peratus

JUMLAH kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) 42/22 meningkat sebanyak 137 kes atau 9.3 peratus kepada 1,614 kes berbanding 1,477 pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata satu kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME 42/22.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 48,109 kes berbanding 21,308 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 26,801 kes (125.8 peratus),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata 29 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian (81.3 peratus).

Menurutnya, sebanyak 51 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME 42/22 berbanding 53 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata 39 daripada lokaliti berkenaan berada di Selangor, Sabah (11), Kuala Lumpur dan Putrajaya (lapan) dan masing-masing satu lokaliti hotspot di Kedah serta Melaka.

“Keadaan hujan diselang-seli dengan cuaca panas yang berlaku di negara kita mutakhir ini merupakan keadaan yang amat kondusif untuk nyamuk Aedes membiak,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai untuk memeriksa dan musnahkan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu.

Mengenai chikungunya, Dr Noor Hisham berkata survelan merekodkan tujuh kes pada minggu ME 42/22 dengan tiga kes dari Pulau Pinang, dua di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan masing-masing satu kes dari Selangor serta Melaka.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 669 kes,” katanya.

— BERNAMA