‘Hanya empat pemimpin berbincang, bukan tujuh’

KEHADIRAN Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pertemuan dengan pimpinan UMNO minggu lalu hanya membincangkan syarat yang ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata dalam pertemuan itu pada 12 Oktober, hanya empat pemimpin kedua-dua parti yang hadir dan bukan tujuh pemimpin seperti dalam gambar yang disebarkan sebelum ini.

“Saya bersaksi bahawa, Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS bercakap benar, tidak berbohong, dan tidak pernah memungkiri janji,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Turut sama dalam pertemuan itu, katanya, adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, gambar pada meja makan itu diambil ketika tetamu sampai dan duduk berbual kira-kira 10 minit sebelum tiga lagi pemimpin lain beredar.

“Saya terpanggil untuk menulis sedikit berhubung pertemuan PAS – UMNO baru-baru ini yang menjadi sedikit polemik. Sehingga ada yang mencari siapa pembohong dan siapa menipu.

“Selepas itu tiga orang yang lain pun beredar, tinggal lah empat pimpinan (iaitu) Presiden dan Timbalan Presiden PAS dan UMNO, berbincang sekitar satu jam. Kekanda saya Asyraf (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) juga berada di luar sepanjang perbincangan,” katanya.

Mengakui sebagai ketua sayap Dewan Pemuda PAS beliau tidak terbabit dengan perbincangan berkenaan, Ahmad Fadhli bagaimanapun berkata, semua butiran perbincangan sedemikian tetap dimaklumkan kepada ahli Jawatankuasa Harian PAS sejurus berakhir mana-mana perbincangan.

Beliau berkata, kehadiran Abdul Hadi dalam pertemuan itu “untuk menyelami hati budi UMNO” serta mendengar syarat-syarat yang dikemukakan Presiden UMNO manakala Tuan Ibrahim hadir sebagai saksi pertemuan, dan mencatit butiran perbincangan.

Katanya, beliau tidak perlu mendedahkan syarat dikemukakan namun Abdul Hadi diberikan tempoh singkat iaitu Jumaat 14 Oktober untuk memuktamadkan keputusan.

“Esoknya Khamis 13 Oktober, Mesyuarat PAS Pusat. Penuh bilik mesyuarat walaupun hari bekerja. Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal Perdana Menteri.

“Yang dimusyawarahkan adalah soal hukum, apakah maslahahnya, apakah mudharatnya. Yang timbul adalah soal nasib, bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena dakwa (charge) esok, siapa kena dakwa (charge) lusa), tetapi nasib agama, bangsa, dan negara,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, keputusan muktamad mengenai kerjasama politik PAS dicapai selepas mesyuarat selama empat jam itu iaitu persetujuan untuk mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dengan penyatuan ummah yang terbuka tetap diteruskan.

Beliau berkata, objektifnya adalah untuk menyelamatkan negara daripada terjarah bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan membawa mudarat yang lebih besar.

Justeru, beliau berharap supaya fakta yang dikemukakan itu dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku antara kedua-dua parti berkenaan.

BH sebelum ini melaporkan, Asyraf menyatakan dalam pertemuan minggu lalu, PAS memaklumkan jika bersama PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada PAS.

Dalam kenyataan menerusi Facebook, Asyraf mendakwa pertemuan itu adalah ikhtiar terakhir UMNO untuk berlapang dada menerima PAS bagi menyelamatkan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan bersama-sama menjadi pembangkang.

Bagaimanapun, kenyataan Asyraf itu disangkal Tuan Ibrahim yang dilaporkan berkata, isu kerusi tidak pernah dibincangkan pada pertemuan tertutup dengan dua pemimpin UMNO pada 12 Oktober lalu.