Kelantan tidak akan bubar DUN 

0
256

KERAJAAN Kelantan teguh dengan pendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Nik Amar Abdullah berkata, keputusan muktamad itu sudah dibuat sebelum ini termasuk dua lagi negeri iaitu Terengganu dan Kedah.

“Kita tetap tidak akan bubarkan kerana masih ada tempoh sehingga bulan Mei tahun depan. Oleh itu, pembubaran DUN akan dilakukan pada tahun depan. 

“Pertama, kita ada masa panjang lagi sehingga bulan lima tahun depan. Jadi, yang kedua, kalau bubar sekarang ni dia akan terlibat dengan musim banjir. Jadi, kita ni sebab pengalaman di Kelantan  sentiasa berhadapan dengan banjir,” kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Tumpat Majlis Daerah Tumpat (MDT) di Jalan Hilir Pasar di sini hari ini seperti dilaporkan Utusan Online.

Mohd. Amar menegaskan, sukar untuk semua pihak menghadapi PRU15 sekiranya ia dilaksanakan semasa musim tengkujuh atau banjir.

Katanya, Pas berpandangan kerajaan yang sedia ada hari ini perlu diberikan peluang untuk melakukan kerja-kerja pemulihan ekonomi.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas membuat ketetapan tidak membubarkan DUN di tiga negeri yang ditadbir parti itu sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Beliau memberitahu, ketetapan itu menyusul selepas negeri dikuasai Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang membuat keputusan sama, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here