KeTSA bantah cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada tahun 2020

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam Malay Mail pada 30 Ogos lalu bertajuk ‘Selangor Government Approves Degazettement of Kuala Langat North Forest Reserve, 536.7ha to be Developed’.

“Malaysia komited dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli negara, kementerian ini memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar HSKLU yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin turut menegaskan, pihaknya mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan empat kawasan hutan berasingan iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar) sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Selain itu, beliau juga mengesyorkan supaya kawasan gantian tersebut terus dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kawasan berhutan di Selangor dikekalkan.

Katanya, Kerajaan Selangor diharap memastikan kawasan hutan yang telah diwarta keluar tersebut dibangunkan secara bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari termasuk memastikan kecukupan zon penampan dan semua syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah ditetapkan, dipatuhi sepenuhnya. -SB