Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU15: Rahim Thamby Chik ramal UMNO tidak akan menang lebih 50 kerusi -

PRU15: Rahim Thamby Chik ramal UMNO tidak akan menang lebih 50 kerusi

WALAUPUN UMNO kelihatan bersedia untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun ahli politik veteran, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik meramalkan parti itu tidak akan menang lebih daripada 50 kerusi.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, sebagai orang lama dalam politik, beliau berpendapat UMNO ibarat sebuah rumah besar namun sudah buruk, berlubang, dipenuhi anai-anai dan sukar untuk dibaiki.

Tambah beliau, faktor lain seperti masalah dalaman parti dan kes mahkamah melibatkan pemimpinnya membuatkan UMNO tidak akan menang begitu banyak kerusi dalam PRU15.

“Dengan masalah dalaman, perpecahan dan rahsia bagaimana pemimpinnya menipu rakyat yang didedahkan secara undang-undang dan dalam mahkamah, orang dah muak.

“Pada perhitungan saya, selepas mendengar pandangan daripada sahabat, bacaan-bacaan… ‘mindset’ orang kampung berubah. Bila ada media sekarang menghuraikan bagaimana kelakuan, perangai, watak pemimpin UMNO, saya rasa kali ini mereka (rakyat) akan berhijrah.

“Dulu berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), sekarang daripada kerajaan UMNO kepada kerajaan Bersatu,” katanya, lapor Astro AWANI.

Dalam pada itu, mengulas kerjasama Bersatu dan parti lain, Abdul Rahim berkata kerjasama politik seharusnya dimeterai sebelum pilihan raya namun dakwanya, parti yang berbincang dengan Bersatu hanya ‘sibuk’ dengan jawatan.

Tegasnya, perbincangan yang hanya berkisar kepada jawatan itu membuatkan kerjasama yang ingin dijalinkan sebelum pilihan raya gagal.

Begitupun, beliau tetap optimis Bersatu mampu mencatat keputusan yang baik dalam PRU15.

“Saya yakin kalau Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu go alone (bergerak sendiri), kita boleh ambil risiko ini sebab kita tidak terhutang sangat kepada suasana yang mengecewakan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahim turut memberi bayangan beliau akan membuat kemunculan semula pada PRU15 ini, sekiranya mendapat restu daripada pucuk pimpinan Bersatu, parti yang disertainya sekarang.

“Saya akan bertanding di (Parlimen) Hang Tuah Jaya, mungkin…kalau jadilah,” jawabnya ringkas.

Meskipun sudah beberapa penggal tidak bertanding, beliau tetap yakin dengan peluangnya kerana menurutnya, masih ramai rakyat mengingati jasa beliau terutamanya ketika mentransformasi ekonomi Melaka ketika mentadbir negeri itu.