Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Ahli perniagaan diculik Vellfire putih kerana masalah hutang -

[VIDEO] Ahli perniagaan diculik Vellfire putih kerana masalah hutang

SEORANG ahli perniagaan diculik sekumpulan lelaki menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih petang semalam dipercayai berpunca kerana masalah hutang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 5.03 petang.

Beliau berkata, sekumpulan suspek yang dipercayai lelaki tempatan telah menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta ketika mangsa sedang makan sendirian di sebuah restoran dekat Jalan Pandan Indah.

“Mangsa berusia 38 tahun telah meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri, tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.45 malam selepas dilepaskan suspek di kawasan Klang.

“Mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya, lapor Utusan TV.

Tambahnya, kejadian dipercayai berpunca akibat masalah hutang dengan pihak majikan dan suspek terlibat kini sedang giat dikesan.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan.

Mohamad Farouk berkata, pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk awam yang cuba membantu dalam kejadian berkenaan dan menasihati orang awam supaya tidak terlibat dengan hutang tanpa lesen yang sah.